5 Perkara Untuk Keluarga Lebih Bahagia
Membina keluarga adalah seperti membina rumah. Apabila asasnya kukuh, maka rumah pun kukuh. Begitu juga sebaliknya. Sebab itu kita harus tahu ciri-ciri keluarga bahagia sebelum memulakan keluarga sendiri. Tetapi apakah 5 perkara yang boleh dipraktikkan untuk membentuk keluarga lebih bahagia?
Setiap pasangan yang berkahwin dan mempunyai anak pastinya inginkan keluarga yang bahagia. Itulah sebabnya mereka sedaya upaya untuk mencuba dan mengetahui apa yang menjadi ciri keluarga bahagia supaya ia juga menjadi realiti dalam hidup mereka.
Kita sanggup melakukan apa sahaja untuk mencari kebahagiaan kerana ia melebihi wang dan harta benda. Sesebuah keluarga bukan sekadar sekumpulan orang dewasa dan kanak-kanak yang tinggal bersama dalam satu rumah, malah ia adalah salah satu ikatan suci cinta yang dibentuk dengan pasangan, dan anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT.
Ciri-ciri Keluarga Bahagia
Sebenarnya, ciri-ciri keluarga bahagia hanyalah perkara yang kelihatan tidak penting dalam kehidupan seharian kita, tetapi kesan jangka panjangnya sangat besar.
Mari kita lihat, berikut adalah 5 perkara kecil yang boleh menjadi ciri keluarga lebih bahagia:
#1 : Solat berjemaah bersama
Solat adalah tunjang agama. Jika solat kita khusyuk, perbuatan kita akan khusyuk. Apabila kita sentiasa mengingati Allah (melalui solat), kita menjadi takut untuk melakukan apa yang dilarang oleh agama.
Selain itu, bagaimanakah solat bersama dapat membahagiakan sesebuah keluarga? Jadikan waktu solat sebagai waktu kualiti bersama keluarga. Solatlah berjemaah bersama pasangan dan anak-anak, dan gunakan masa ini untuk mendoakan kesejahteraan keluarga. Ini adalah ciri terpenting keluarga lebih bahagia!
#2 : Berikan perhatian 100%
Matikan TV, letakkan komputer dan telefon pintar anda, dan berikan perhatian 100% kepada anak-anak anda. Apabila berinteraksi dengan anak-anak, cuba sesekali bertanya soalan terbuka yang membolehkan mereka meluahkan perasaan mereka dan berkongsi perasaan mereka dengan kita.
Pandang wajah dan mata mereka sambil berbual. Perhatikan nada suara, ekspresi muka dan pergerakan badan mereka. Mereka akan berasa dihormati dan dihargai apabila kita memberi mereka perhatian yang tidak berbelah bahagi.
#3 : Makan bersama
Ini mungkin nampak remeh, tetapi makan bersama sebenarnya sangat penting. Ketika makan bersama, pastikan bukan anak-anak saja, tetapi anda juga perlu menjauhi gangguan gajet. Membaca doa bersama-sama, kemudian berbual tentang hari masing-masing, dan merancang aktiviti bersama di meja makan dapat mengeratkan ikatan keluarga.
Jadikan makan bersama sebagai kebiasaan, dan setiap ahli keluarga pasti akan berasa serba kekurangan jika tiada sesiapa yang hadir.
#4 : Lakukan kerja rumah bersama-sama
Selain makan bersama, melakukan kerja bersama juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Malah dengan melakukan kerja-kerja rumah dapat melegakan ibu atau isteri daripada terbeban dengan memasak dan menyiapkan kerja-kerja lain.
Ibu bapa yang berkongsi kerja rumah bersama-sama secara tidak langsung menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka. Mereka pasti akan melakukan perkara yang sama pada masa hadapan.
#5 : Luangkan masa dengan keluarga
Menghabiskan masa bersama keluarga antara cara yang sangat berkesan untuk dipraktikkan bagi memikat rasa kasih kasih sayang antara pasangan. Contohnya, keluar berjalan pada hujung minggu.
Aktiviti luar bersama keluarga amat digalakkan kerana ia bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan tetapi juga meningkatkan kesihatan fizikal dan mental. Berkelah, berseronok atau bermain bersama. Melakukan aktiviti bersama membina kenangan indah dan menjadikan ikatan kekeluargaan lebih istimewa.
Cuba amalkan lima perkara ini dan nilaikan sendiri perbezaan yang anda lihat dalam keluarga anda. Perkara yang positif menghasilkan hasil yang positif, termasuklah perkara-perkara yang disebutkan ini.
Layanan Rasulullah terhadap Keluarganya
Akhlak Rasulullah SAW terhadap isteri dan anak-anak patut dicontohi oleh pasangan di zaman ini. Hanya keluarga yang bahagia dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera. Ini kerana, setiap orang dididik bermula daripada keluarga, di bawah bimbingan ibu bapa masing-masing yang berusaha membentuk akhlak baik anak-anak.
Untuk melahirkan keluarga yang sejahtera dan harmoni, ibu bapa seharusnya berusaha membentuk anak-anak mereka menjadi generasi yang cemerlang dan berkualiti. Contoh pembinaan keluarga yang sejahtera boleh dilihat pada cara para nabi berurusan dengan ahli keluarga.
Rasulullah SAW adalah seorang suami dan bapa yang sangat mengambil berat tentang kesejahteraan keluarganya. Juga seorang suami yang sangat romantik. Baginda santai dan membantu isterinya menguruskan rumah.
Kata Saidatina Aisyah RA, jika Nabi SAW ada di rumah, baginda sentiasa membantu isterinya. Setiap kali pulang ke rumah, melihat makanan belum siap dihidang untuk dimakan, Baginda terus menyingsing lengan bajunya sambil tersenyum dan membantu isterinya di dapur.
Diriwayatkan oleh Ahmad: “Rasulullah SAW menziarahi isterinya seorang demi seorang setiap hari. Baginda akan mendekati dan membelai mereka secara bergantian.” Suatu ketika, Rasulullah SAW begitu romantik sehinggakan baginda sengaja memanjakan dirinya, dengan menyandarkan kepala di pangkuan isterinya.
Sebagaimana kata Aisyah RA dalam Sahih Bukhari: “Nabi SAW membaca Al-Qur’an secara mengulang hafalan, kepalanya disandarkan di atas pangkuanku sedangkan ketika itu aku sedang dalam haid.” Pada ketika lainnya, sebelum Rasulullah SAW ke masjid, isterinya akan selalu mendapat kucupan mesra daripadanya.
Betapa lembut dan mesra layanan Rasulullah terhadap isteri Baginda. Perwatakan Baginda terhadap isterinya ini wajar dicontohi pasangan suami isteri pada zaman ini sebagai langkah menuju gerbang keluarga bahagia.